Friday 3 June 2011

SYUKURLAH SEBELUM ‘DICUKUR’ NIKMAT KITA!

“Aku memang tak puas hati kenapa harga gula naik 20 sen! Zalim!”, jerit Bidin (bukan nama sebenar) di kedai mamak.

Perasaan tak puas hati membara. Teh Tarik yang diminumnya naik harga! Naik kira-kira 20 sen. Hairannya, mengapa harga teh tarik naik harga sedangkan susu pekat yang digunakan, dan bukannya gula. Peniaga mengambil kesempatan.

Akhirnya kerajaan juga menjadi bahan rungutan dan bukannya peniaga yang mengambil kesempatan. Duit banyak, tetapi seperti orang yang miskin semiskin-miskinnya.
Selepas minum Teh Tarik, Bidin terus menuju ke kereta Estimanya. Kebetulan di sebelah keretanya terpangkir sebuah BMW X6. Berderau darahnya melihat kereta mewah itu.

“Ciss.. Kenapa kereta dia lagi bagus? Ni sebab kerajaan minta cukai banyak-banyak la ni! Sampai aku tak mampu nak beli kereta mewah!”, Bidin berkata lagi.
.
.

Berlalulah Bidin pulang ke rumah. Sebelum sampai ke rumahnya, Bidin terlihat sebuah rumah banglo yang tersergam indah. “Ni mesti bagi rasuah ni, kalau tak takkan dia boleh buat rumah besar-besar ni!”.
Bidin tidak puas hati sekali lagi.

TIBA DI RUMAHNYA
Bidin memarkir keretanya di garaj. Di garaj keretanya terdapat 5 buah kereta lagi yang tersusun rapi. Di sebelah keretanya pula, tersusun lagi 5 buah motorsikal berkuasa tinggi.
Rumahnya pula 2 tingkat yang gah apabila orang lain melihatnya. Terdapat pula taman dan kolam ikan-ikan Koi. Cantik!
Bidin masuk ke dapur berjumpa isterinya dan berkata, “Yang.. Tadi abang lalu depan rumah Datuk *** tadi, rumahnya besar, Yang. Tak lain tak bukan mesti rasuah ni! Patutlah kita tak kaya lagi”.
Kereta 6 buah, Motorsikal 5 buah, rumah segah istana, tetapi masih dengki dan berasa tidak cukup. Nauzubillah.

HILANG SYUKUR DALAM ‘KEMISKINAN’
“RUMAH, PAKAIAN, MAKANAN”
3 asas utama dalam kehidupan manusia. Nabi Muhammad Solallahu A’laihi Wasalam berpesan kepada umatnya, jika kita berkehendak SELAIN 3 perkara tadi (tempat tinggal, pakaian, makanan), maka umatnya akan sibuk dengan hal dunia.
Benar kata Nabi, manusia akan sibuk dengan dunia jika kita menambah keperluan kita.
Lebih malang lagi, jika keperluan asas itu dirasakan tidak cukup dan berlebih-lebihan. Sudah ada rumah untuk berteduh, mahukan rumah yang lebih besar lagi. Sudah ada pakaian yang menutup aurat, mahukan pakaian yang berjenama dan lebih teruk jika mahukan pakaian yang tidak cukup kain pula!
Dunia yang meresap ke dalam hati dapat ‘memiskinkan’ keperluan hidup. Sudah ada segala-galanya masih mahu lagi dan lagi kemewahan dunia.
Miskin dalam kenikmatan.

BELAJAR SYUKUR KEPADA ALLAH
Salah satu cara yang dianjurkan untuk mensyukuri nikmat ALLAH kepada kita adalah dengan cara MEMANDANG KE BAWAH.
Memandang ke bawah? Apa itu? Sebuah kisah di jalanraya ini boleh diambil iktibar menyebut syukur kepada Allah.
Kisah pengguna jalan raya di sebatang jalan. Tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya.
“Alahai hujan la pulak. Dah lah kereta Kancil kita ni kecik, berlubang pulak tu. Habis masuk air”, bebel Mak Minah. ”Jangan cakap macam tu, cuba tengok orang naik motor tu, lagi kesian basah lencun”, jawan Pak Abu.
Seorang penunggang motorsikal basah lencun. “Alhamdulillah. Walaupun aku basah, tapi aku boleh bergerak lagi. Kesian dekat orang yang jalan kaki tu, lagi kena hujan tak de tempat berteduh”.
Pejalan kaki di tepi jalan dan selepas itu menaiki sebuah bas. “Alhamdulillah. Walaupun aku basah, ada juga bas yang berhenti. Lagipun naik bas tak mahal, tak payah bayar tol, insuran bas, minyak diesel, maintanance lagi.  Banyak tanggungan tu”.
“Bang.. Besarkan kereta tu, kalau dapat kereta besar tu, seronok kan bang?”, Mak Minah berkata lagi. “Syukurlah Maknya, ini sahaja yang kita ada. Syukur pada Allah dapat lagi baik dari penunggang motor dan pejalan kaki kat tepi jalan tu”.
Melihat kekurangan harta orang lain boleh memberi kesan kepada seseorang. Sama ada kesan yang baik atau tidak. Syukur atau kurang cukup. Itulah yang perlu diusahakan, syukur dengan apa yang ada dan jangan berasa tidak cukup dengan apa yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita.
Tidak salah untuk mengumpul harta, tetapi jangan jadikan harta sebagai maksud hidup kita. Harta yang ada perlu diinfak ke jalan Allah Taa’la.
Syukur.. Syukur dan syukurlah. Nasihat untuk saya dan anda semua. Allahu Akbar!

Thursday 2 June 2011

“HARAP MAAF.. TALIAN SEDANG SIBUK, SILA CUBA SEKALI LAGI”



Pernah mendengar kata-kata itu? Kata-kata seorang operator telefon yang dirakamkan khas buat talian yang sedang sibuk. Atau mungkin juga kita pernah mendengar ayat ini, “Maaf.. Pegawai kami sedang sibuk, anda akan dilayan sebentar lagi, harap bersabar”. Sabar punya sabar, masih juga belum dilayan.

Apakah hikmah di sebalik kesesakan talian itu? Adakah kerana kekurangan kakitangan atau sistem telekomunikasi yang kurang sistematik? Bagi saya, hal ini berlaku disebabkan penggunaan perkhidmatan komunikasi di waktu puncak yang sesak!

Waktu puncak boleh dikatakan bermula pada pukul 7 pagi hingga 7 malam. Manakala waktu tenang pula ialah pada pukul 7 malam sehingga pukul 7 pagi. Dimudahkan cerita, siang adalah waktu puncak dan malam adalah waktu yang tenang. Oleh kerana itulah kebanyakkan syarikat telekomunikasi menawarkan pakej harga yang berlainan mengikuti waktu yang ditetapkan. Harga di waktu sesak lebih mahal!

Di sebalik talian yang sesak itu, adakah kita terfikir tentang talian yang lebih hebat daripada talian telekomunikasi ini? Ianya adalah ‘talian’ Allah yang Maha Mendengar rintihan hamba-hamba-Nya. Saya mula terfikir tentang hikmah kelebihan sepertiga malam yang sering diceritakan oleh Rasulullah Sollallahu A’laihi Wasalam. Mengapa sepertiga malam?

Malam adalah waktu yang tenang. Seperti talian telefon yang tidak sesak di waktu ini menunjukkan komunikasi akan menjadi lebih lancar dan kurang halangan. Doa mudah diterima di waktu ini.

DAHSYATNYA QIAMULAIL
Mengambil tamsilan terhadap fenomena talian sibuk dan talian tenang itu, mari kita renungkan hikmah kelebihan malam yang dijanjikan keberkatan itu. Di kala ramai manusia yang sedang tidur lena, di waktu itu jugalah waktu yang paling hebat untuk beribadat.
Malam. Tenang seribu bahasa.
Barangsiapa yang mampu bangun pada waktu malam dan berdoa kepada Allah Subhanahu Wata’la dengan bersungguh-sungguh, pasti Allah akan memakbulkan doa dan taubatnya. Insya-Allah. Oleh itu, mari sama-sama kita merebut ibadat di waktu tenang itu!

Bayangkan seorang pekerja yang mahu mengadu masalah kepada tuannya ketika waktu bekerja, tetapi di waktu itu juga ramai rakan sekerja yang lain turut sama mengadu masalah kepada tuan mereka. Adakah masalah kita akan didengar dan diselesaikan dengan mudah dengan ramainya pekerja yang mengadu masalah pada masa yang sama?

Bayangkan juga mengapa waktu sepertiga malam diceritakan oleh Rasulullah sebagai waktu yang didengari doa hamba-Nya. Di waktu ini, ramai manusia yang sedang tidur, dan hanya segelintir sahaja hamba-Nya yang bersungguh-sungguh beribadat dan meminta pertolongan-Nya. Di waktu ini dikira waktu di antara hamba dan Tuannya, jadi doa mereka yang bangun malam didengar khas oleh Allah.
Namun, khazanah Allah Subhanahu Wataa’la sangat luas, tidak kira di mana, bila-bila masa, Allah pasti dapat mendengar rintihan hamba-hamba-Nya. Tetapi waktu malam itu diperuntukkan khas untuk hamba-Nya yang ikhlas dan benar-benar mahu meminta bantuan. Wallahua’alam.

NOTA : Perbacaan buku DAHSYATNYA QIAMULLAIL sangat memberi pengajaran. Buku ini menyuntik semangat untuk terus beribadat kepada Allah khususnya amalan berqiamullail. Hari ini saya kongsikan maklumat kepada anda semua, moga-moga kita diberi Taufiq untuk mengamalkannya. Insya-Allah..
WAKTU MALAM ‘TALIAN’-NYA TIDAK SIBUK!! REBUTLAH PELUANG!!

Wednesday 1 June 2011

Ya Allah..jgnlah Engkau bolak balikkan hati kami..

 
 
 
"Ya Tuhan kami,janganlah Engkau condongkan hati kami kepada kesesatan setelah Engkau berikan petunjuk kepada Kami,dan kurniakanlah kami rahmat dari  sisiMu, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi."


"Ya Allah…janganlah Engkau bolak-balikkan hati2 kami setelah Engkau memberi hidayah pada kami…."


"Ya Allah...matikanlah kami dengan sebaik-baik kesudahan dan janganlah Engkau tamatkan keatas kami dengan seburuk-buruk kesudahan"