Thursday 2 June 2011

“HARAP MAAF.. TALIAN SEDANG SIBUK, SILA CUBA SEKALI LAGI”



Pernah mendengar kata-kata itu? Kata-kata seorang operator telefon yang dirakamkan khas buat talian yang sedang sibuk. Atau mungkin juga kita pernah mendengar ayat ini, “Maaf.. Pegawai kami sedang sibuk, anda akan dilayan sebentar lagi, harap bersabar”. Sabar punya sabar, masih juga belum dilayan.

Apakah hikmah di sebalik kesesakan talian itu? Adakah kerana kekurangan kakitangan atau sistem telekomunikasi yang kurang sistematik? Bagi saya, hal ini berlaku disebabkan penggunaan perkhidmatan komunikasi di waktu puncak yang sesak!

Waktu puncak boleh dikatakan bermula pada pukul 7 pagi hingga 7 malam. Manakala waktu tenang pula ialah pada pukul 7 malam sehingga pukul 7 pagi. Dimudahkan cerita, siang adalah waktu puncak dan malam adalah waktu yang tenang. Oleh kerana itulah kebanyakkan syarikat telekomunikasi menawarkan pakej harga yang berlainan mengikuti waktu yang ditetapkan. Harga di waktu sesak lebih mahal!

Di sebalik talian yang sesak itu, adakah kita terfikir tentang talian yang lebih hebat daripada talian telekomunikasi ini? Ianya adalah ‘talian’ Allah yang Maha Mendengar rintihan hamba-hamba-Nya. Saya mula terfikir tentang hikmah kelebihan sepertiga malam yang sering diceritakan oleh Rasulullah Sollallahu A’laihi Wasalam. Mengapa sepertiga malam?

Malam adalah waktu yang tenang. Seperti talian telefon yang tidak sesak di waktu ini menunjukkan komunikasi akan menjadi lebih lancar dan kurang halangan. Doa mudah diterima di waktu ini.

DAHSYATNYA QIAMULAIL
Mengambil tamsilan terhadap fenomena talian sibuk dan talian tenang itu, mari kita renungkan hikmah kelebihan malam yang dijanjikan keberkatan itu. Di kala ramai manusia yang sedang tidur lena, di waktu itu jugalah waktu yang paling hebat untuk beribadat.
Malam. Tenang seribu bahasa.
Barangsiapa yang mampu bangun pada waktu malam dan berdoa kepada Allah Subhanahu Wata’la dengan bersungguh-sungguh, pasti Allah akan memakbulkan doa dan taubatnya. Insya-Allah. Oleh itu, mari sama-sama kita merebut ibadat di waktu tenang itu!

Bayangkan seorang pekerja yang mahu mengadu masalah kepada tuannya ketika waktu bekerja, tetapi di waktu itu juga ramai rakan sekerja yang lain turut sama mengadu masalah kepada tuan mereka. Adakah masalah kita akan didengar dan diselesaikan dengan mudah dengan ramainya pekerja yang mengadu masalah pada masa yang sama?

Bayangkan juga mengapa waktu sepertiga malam diceritakan oleh Rasulullah sebagai waktu yang didengari doa hamba-Nya. Di waktu ini, ramai manusia yang sedang tidur, dan hanya segelintir sahaja hamba-Nya yang bersungguh-sungguh beribadat dan meminta pertolongan-Nya. Di waktu ini dikira waktu di antara hamba dan Tuannya, jadi doa mereka yang bangun malam didengar khas oleh Allah.
Namun, khazanah Allah Subhanahu Wataa’la sangat luas, tidak kira di mana, bila-bila masa, Allah pasti dapat mendengar rintihan hamba-hamba-Nya. Tetapi waktu malam itu diperuntukkan khas untuk hamba-Nya yang ikhlas dan benar-benar mahu meminta bantuan. Wallahua’alam.

NOTA : Perbacaan buku DAHSYATNYA QIAMULLAIL sangat memberi pengajaran. Buku ini menyuntik semangat untuk terus beribadat kepada Allah khususnya amalan berqiamullail. Hari ini saya kongsikan maklumat kepada anda semua, moga-moga kita diberi Taufiq untuk mengamalkannya. Insya-Allah..
WAKTU MALAM ‘TALIAN’-NYA TIDAK SIBUK!! REBUTLAH PELUANG!!

No comments:

Post a Comment